
SHAHARUDDIN (enam kanan) bersama dengan barisan pimpinan baru 2027 KLTA pada sidang media di Bangunan Sultan Abdul Samad. FOTO Saifullizan Tamadi
Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) fokus menaik taraf dan penyelenggaraan kemudahan infrastruktur pelancongan di seluruh negara yang semakin uzur, terutamanya prasarana jeti dan laluan akses utama.
Langkah drastik itu diambil bagi menjamin keselesaan serta keselamatan pelancong tempatan mahupun antarabangsa yang melancong ke negara ini.
Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, berkata kementerian bersyukur menerima suntikan peruntukan lebih tinggi menerusi Belanjawan 2027 yang akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memulihkan prasarana kritikal terjejas.
?"Infrastruktur seperti jeti pelancongan dan laluan akses yang uzur memerlukan penambahbaikan segera kerana ia adalah pintu masuk utama serta titik sentuhan awal (first touchpoint) pengunjung.
"Keadaan di beberapa kawasan memang perlu ditambah baik. Peruntukan ini akan diguna khas untuk menaik taraf prasarana berkenaan, di samping meneruskan siri promosi agresif terutamanya di luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas anjuran Persatuan Pelancongan Kuala Lumpur (KLTA) di Bangunan Sultan Abdul Samad, di sini, hari ini.
Hadir sama, wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Tourism Malaysia, Tourism Selangor, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
?Mengulas lanjut, Shaharuddin menjelaskan suntikan peruntukan itu selari dengan strategi kementerian untuk memacu Kempen Visit Malaysia yang kini dilanjutkan sehingga 2027.
?"Pada masa sama, kami tetap komited memelihara kebudayaan serta tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) supaya khazanah bersejarah dan identiti negara kekal dipelihara," katanya.
Bagi merancakkan kehangatan penganjuran Sukan SEA kelak, MOTAC turut menjalin kerjasama strategik bersama Kementerian Belia dan Sukan untuk menganjurkan Festival Budaya Malaysia di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, tahun depan.
Mengenai sasaran pasaran antarabangsa, Shaharuddin menegaskan fokus promosi akan dialihkan ke negara yang stabil dan bebas daripada sebarang krisis mahupun konflik peperangan.
?"Tumpuan promosi antarabangsa dialihkan ke negara bebas peperangan. Ini merangkumi pasaran utama seperti Jepun, Korea Selatan, China, Hong Kong dan Australia.
?"Kita turut menyasar pasaran potensi baharu di rantau Asia Tengah dan Eropah Timur seperti Rusia, Kazakhstan, Uzbekistan serta Turkmenistan," katanya.
?Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan peruntukan bernilai RM935 juta bagi sektor pelancongan dan kebudayaan.
?Ia merangkumi usaha menaik taraf mutu kemudahan jeti serta tapak warisan berpotensi mendapat pengiktirafan UNESCO seperti Lembah Danum di Sabah, Lembah Bujang di Kedah dan Taman Negara di Pahang.
Disiarkan pada: Oktober 15, 2026 @ 8:49pm
© Copyright 2026 All Rights Reserved Kuala Lumpur Tourism Association