KUALA LUMPUR TARIK 16 JUTA PELAWAT, KLTA FOKUS PROMOSI PRODUK PELANCONGAN BAHARU

Kuala Lumpur: Persatuan Pelancongan Kuala Lumpur (KLTA) mahu memantapkan promosi dan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan serta pemain industri bagi meningkatkan daya tarikan ibu negara sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Presidennya, Datuk Azhar Nadzir berkata, usaha itu penting bagi mengekalkan momentum pelancongan Kuala Lumpur yang menerima kira-kira 16 juta pelawat sepanjang 2025, selain memperluas promosi produk baharu dan meningkatkan pengalaman pengunjung.

"Kita mahu terus meningkatkan daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan menerusi kerjasama dengan Tourism Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemain industri, selain mempromosikan produk baharu yang mampu memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung," katanya ketika ditemui pada mesyuarat agung tahunan KLTA di sini, semalam.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama strategik antara KLTA dengan DBKL, sekali gus membuka ruang kepada usaha bersama untuk mempromosikan tarikan pelancongan dan warisan ibu negara.

Azhar berkata, meskipun konflik geopolitik menimbulkan kebimbangan terhadap industri pelancongan, setakat ini tiada penurunan mendadak dalam jumlah kedatangan pelawat ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya, perubahan corak aktiviti pelancong dapat dilihat apabila sebahagian pengunjung memilih untuk menghabiskan lebih banyak masa di pusat beli-belah berbanding melakukan aktiviti luar.

Sehubungan itu, KLTA memberi perhatian kepada promosi tarikan baharu seperti Merdeka 118 dan Ombak KLCC menerusi kerjasama dengan Tourism Malaysia dan DBKL.

Bagi perkhidmatan bas pelancongan Hop On Hop Off, Azhar berkata, jumlah penumpang melebihi 200,000 orang pada suku pertama tahun ini, yang disifatkannya sebagai pencapaian luar biasa bagi perkhidmatan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, kementerian akan meneruskan kempen Tahun Melawat Malaysia hingga 2027, selain memberi tumpuan kepada penaiktarafan infrastruktur pelancongan dan promosi di luar negara.

Beliau berkata, penambahbaikan kemudahan seperti jeti dan laluan pelancongan turut diberi perhatian, selain meneruskan pemberian geran bagi menyokong penganjuran program pelancongan, kebudayaan dan warisan negara.

"Kita akan terus meningkatkan kemudahan infrastruktur pelancongan serta mempergiat promosi di luar negara. Pada masa sama, Festival Budaya Malaysia akan dianjurkan di Bukit Jalil sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2027 bagi menarik lebih ramai pengunjung menerusi aktiviti kebudayaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, kerjasama antara kerajaan dengan pemain industri serta penambahan laluan penerbangan terus penting bagi mengekalkan pertumbuhan pelancongan ketika berdepan cabaran geopolitik.

"Promosi di pasaran antarabangsa tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata. Inisiatif pemain industri dan peningkatan hubungan udara penting untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia," katanya.

Menurutnya, Singapura kekal sebagai penyumbang terbesar pelancong dari rantau ASEAN, manakala China mencatat pertumbuhan sekitar lapan hingga sembilan peratus, disokong peningkatan penerbangan.

"Kewujudan laluan penerbangan terus ke pasaran seperti Algeria turut membantu meningkatkan kedatangan pelancong dari negara berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2026 @ 1:04pm

    About KLTA

    The Kuala Lumpur Tourism Association (KLTA) is the oldest tourism industry association in the country. Established in 1963, the KLTA represented most of the industry players in the country at the time. This was because Kuala Lumpur was the main hub of tourism activity in the then newly formed Malaysia. Over the years the industry has grown and developed in all corners of our nation, necessitating more nationalized organizations to meet the requirements of the nationwide industry players.

    Stay Connected

    Facebook
    LinkedIn
    Instagram